Sarawak perkukuhkan agenda konservasi bertaraf global.

KUCHING: Sarawak mengukuhkan agenda konservasi menerusi kerjasama global dan pematuhan piawaian antarabangsa.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, penganjuran Malaysian Conservation Conference (MCC) 2.0 2026 mencerminkan komitmen negeri terhadap agenda tersebut.

“Dalam usaha menjadikan Sarawak sebuah wilayah yang berdaya saing di peringkat global, kita perlu sentiasa mengamalkan piawaian antarabangsa serta tidak mengehadkan diri daripada perkembangan dan amalan terbaik dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis MalaysianConservation Conference (MCC) 2.0 2026, di sini, hari ini.

Selain itu, menurut Len Talif Sarawak turut memperkukuhkan pertukaran ilmu melalui kerjasama akademik dengan universiti terkemuka dunia.

Usaha itu turut diperkasakan menerusi jaringan antarabangsa melibatkan NREB, UNICEF dan organisasi konservasi global.

Beliau berkata, pengiktirafan Bank Dunia terhadap Sarawak sebagai wilayah berpendapatan tinggi membuktikan pembangunan boleh dicapai secara lestari.

“Kita tidak mencapai status ini dengan mengeksploitasi sumber asli, sebaliknya melalui peningkatan kecekapan dan pendekatan pembangunan yang lebih lestari,” ujarnya.

Len Talif turut memuji kadar pelaksanaan melebihi 90 peratus bagi resolusi Persidangan Konservasi Malaysia sebelum ini.

Katanya, MCC 2.0 2026 menghasilkan 15 resolusi baharu yang akan memperkukuhkan usaha konservasi negara.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penganjur dan peserta serta berharap kerjasama yang terjalin terus memacu pemuliharaan alam sekitar.