Sarawak rancang eksport air sebagai sumber ekonomi baharu

KUCHING: Dengan memanfaatkan teknologi, Sarawak merancang memproses air sungai dan menjadikannya sebagai komoditi eksport kepada negara yang memerlukan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah tersebut merupakan pelan jangka panjang Sarawak.

“Dalam jangka panjang, kita juga melihat air sebagai sumber ekonomi baharu. Ini kerana, Sarawak mempunyai banyak sungai, dan tanpa pengurusan yang baik, ia boleh dianggap sebagai pembaziran sumber.

“Oleh itu, kita akan memanfaatkan teknologi untuk memproses air sungai dan menjadikannya sebagai komoditi eksport kepada negara yang memerlukan, khususnya negara jiran yang berdepan kekurangan air,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen dan Pameran Air dan Air buangan Antarabangsa Borneo di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi serta tetamu kenamaan lain.

Oleh itu, kata Abang Johari adalah menjadi tanggungjawab untuk memanfaatkan anugerah ini secara optimum tanpa pembaziran.

“Keutamaan kita tetap kepada rakyat Sarawak terlebih dahulu. Setelah keperluan tempatan dipenuhi sepenuhnya, baharulah kita melangkah ke arah eksport air sebagai sumber pendapatan baharu,” tambahnya.

Pada masa ini, kata Abang Johari rundingan dengan beberapa negara sedang berjalan, namun butiran lanjut tidak dapat didedahkan.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, Kerajaan Sarawak akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan berkaitan projek bekalan air supaya dilaksanakan oleh kerajaan negeri seperti yang telah dipersetujui bersama Perdana Menteri.

Dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif itu, katanya, sasaran Sarawak adalah untuk mencapai liputan bekalan air sehingga 100 peratus, manakala bagi kawasan pedalaman, Sarawak akan menggunakan sistem alternatif seperti Sistem Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) untuk memastikan semua komuniti mendapat bekalan air bersih.

Menjelang tahun 2028, katanya, Sarawak juga merancang untuk menganjurkan persidangan air peringkat antarabangsa sebagai platform untuk memperkukuh pengurusan dan kerjasama dalam sektor terbabit.

Sementara itu, semasa berucap merasmikan konvensyen itu, Abang Johari menjelaskan, liputan bekalan air di kawasan bandar Sarawak sekarang mencapai 86.1 peratus manakala di luar bandar mencapai liputan 71.9 peratus.