Ekosistem inovasi Sarawak tarik minat Jiangsu Normal University

KUCHING: Ekosistem inovasi Sarawak mendapat perhatian antarabangsa apabila Jiangsu Normal University Kewen College, China mengadakan lawatan pembelajaran ke TEGAS Digital Village.

Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada International Staff Mobility Programme anjuran UNIMAS bagi memberikan pendedahan kepada delegasi akademik mengenai pembangunan inovasi, keusahawanan serta program inkubasi syarikat pemula berasaskan teknologi.

“Lawatan ini memberikan peluang kepada delegasi memahami bagaimana ekosistem inovasi dibangunkan menerusi kerjasama strategik antara kerajaan, industri, akademia dan komuniti usahawan,” katanya menurut kenyataan media sempena Lawatan Jiangsu Normal University Kewen College, China ke TEGAS Digital Village, di sini.

Delegasi diketuai Dekan Jiangsu Normal University Kewen College, Prof. Hu Funian bersama 12 staf akademik daripada pelbagai bidang termasuk inovasi dan keusahawanan, kecerdasan buatan, kejuruteraan, pengurusan serta sains dan seni.

Turut menyertai lawatan itu ialah Dr. Connie Lim Keh Nie, wakil daripada UNIMAS Business School yang mengiringi delegasi sepanjang sesi pembelajaran berasaskan industri bertajuk Innovation Ecosystem Development and Startup Incubation: Best Practices from TEGAS Sarawak.

Menerusi sesi tersebut, delegasi diperkenalkan dengan peranan TEGAS dalam memperkasakan ekosistem inovasi Sarawak termasuk program keusahawanan, sokongan startup, TEGAS Digital Village (TDV) serta Digital Innovation Hubs (DIH).

“TEGAS Digital Village berfungsi sebagai hab kolaborasi yang menghubungkan startup, usahawan, industri dan institusi akademik bagi mencipta peluang pertumbuhan baharu berasaskan teknologi,” katanya.

Selain itu, delegasi turut melawat fasiliti TDV serta berinteraksi bersama syarikat pemula, usahawan dan penyewa bagi memahami perkembangan perniagaan inovatif yang beroperasi di hab tersebut.

Kunjungan itu membuka ruang pertukaran pengetahuan antara pihak akademik dan industri berkaitan amalan terbaik pembangunan inovasi serta inkubasi syarikat pemula.

Lawatan Jiangsu Normal University Kewen College ke TEGAS Digital Village mencerminkan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam memperluaskan jaringan inovasi dan memperkasakan pembangunan usahawan teknologi di Sarawak.