Kampung Pangtray, Kampung Nangar terima bantuan jentera pertanian

DARO: Kerajaan Sarawak meningkatkan pengeluaran padi dan menjamin keselamatan makanan negeri apabila Kampung Pangtray dan Kampung Nangar Besar menerima bantuan jentera pertanian, semalam.

Bantuan tersebut di bawah inisiatif Jabatan Pertanian Sarawak.

Majlis Simbolik Penyerahan dan Demonstrasi Ujiguna Jentera/Mesin Padi dan Beras yang berlangsung di Dewan Kampung Pangtray itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad.

Kampung Pangtray dan Kampung Nangar Besar masing-masing menerima dua unit mesin pengisar padi dan dua unit mesin perontok padi bagi meningkatkan kecekapan pengendalian hasil tuaian serta memperkukuh pengeluaran padi di kawasan tersebut.

Inisiatif Jabatan Pertanian Sarawak itu dijangka membantu pesawah mengurangkan kebergantungan kepada kaedah tradisional, selain meningkatkan produktiviti, menjimatkan masa dan kos operasi serta menyokong agenda keselamatan makanan negeri.

Selain penyerahan jentera, peserta turut mengikuti demonstrasi penggunaan mesin bagi memberi pendedahan mengenai kaedah pengendalian, penyelenggaraan dan penggunaan jentera secara optimum untuk meningkatkan hasil pertanian.