KUCHING: Sarawak terus memainkan peranannya sebagai platform global bagi kerjasama, inovasi dan kecemerlangan dalam sektor air.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak,
Dato Sri Julaihi Narawi berkata, Pameran dan Persidangan Antarabangsa Air dan Air Sisa Borneo (BIWWEC) yang dianjurkan Sarawak setiap dua tahun sejak 2010 menjadi bukti komitmen itu.
Beliau berkata, komitmen ini turut diperkukuh dengan kejayaan Sarawak membida sebagai tuan rumah Kongres dan Pameran Air Sedunia Persatuan Air Antarabangsa (IWA) 2028.
“Visi kita tidak terhad kepada memastikan kelestarian air di Sarawak sahaja. Kita turut memposisikan Kuching sebagai hab serantau bagi inovasi air, kelestarian dan pertukaran ilmu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan BIWWEC 2026 yang dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini, semalam.
Julaihi berkata BIWWEC 2026 dengan tema “Perkongsian Global ke Arah Masa Depan Air yang Tahan Iklim” merupakan platform tepat untuk kerajaan, utiliti, pemimpin industri, penyelidik dan komuniti.
Katanya, ini bagi berkongsi pengetahuan, memupuk inovasi serta memperkukuh kerjasama ke arah masa depan air yang lebih berdaya tahan.
“Air kini bukan lagi sekadar keperluan asas, tetapi merupakan sumber berharga yang menyokong kesihatan awam, pembangunan ekonomi, kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan masyarakat di seluruh dunia,” tambahnya.
Namun, katanya kesan urbanisasi, perindustrian dan perubahan iklim terus memberi cabaran besar terhadap keselamatan air.
