TYT, isteri hadiri Majlis Kesyukuran Hari Sarawak 2026

SIBU: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menghadiri Majlis Kesyukuran sempena Sambutan Hari Sarawak 2026 di Masjid An-Nur di sini, malam ini.

Tun Dr Wan Junaidi yang diiringi isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, disambut oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) yang juga Menteri Bertanggungjawab Majlis Kesyukuran Sambutan Hari Sarawak 2026, Dato Dr Juanda Jaya serta Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee.

Turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh serta tetamu kenamaan lain.

Sejurus tiba, Yang di-Pertua Negeri menunaikan solat Maghrib berjemaah yang diimamkan Imam Besar, Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.

Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan Surah Yasin, alunan zikir Marhaban oleh Gabungan Kumpulan Zikir Bahagian Sibu serta doa kesyukuran sempena Hari Sarawak 2026 yang dipimpin Imam Besar Negeri Sarawak sebelum hadirin menunaikan solat Isyak secara berjemaah.

Selesai solat, para tetamu menghadiri jamuan makan malam yang turut disertai Menteri Pengangkutan Sarawak yang juga Menteri Bertanggungjawab Sambutan Hari Sarawak 2026, Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn serta Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah.

Tun Dr Wan Junaidi dijadualkan menyertai program Unity Walk di Dataran Tun Tuanku Bujang pada 6.45 pagi esok.

Pada sebelah malam, beliau akan menghadiri Perhimpunan Hari Sarawak 2026 dan Konsert Rakyat di lokasi sama yang dijangka turut dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.