KUCHING: Hari Sarawak menjadi simbol perpaduan dan iltizam rakyat dalam meneruskan pembangunan negeri yang aman, maju dan makmur.
Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman berkata, semangat kebersamaan yang dipupuk sejak sekian lama menjadi asas kejayaan dan pembangunan Sarawak.
“Hari Sarawak mengingatkan kita bahawa kemajuan yang dinikmati hari ini lahir daripada perpaduan, kesepakatan serta usaha berterusan seluruh rakyat dalam membina sebuah Sarawak yang aman, maju dan makmur,” katanya dalam Perutusan Sempena Sambutan Hari Sarawak 2026.
Beliau berkata, Kuching terus berkembang sebagai bandar raya dinamik, inklusif dan berdaya tahan dengan pembangunan yang mengimbangi ekonomi, kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.
Katanya, kejayaan bandar raya itu hasil kerjasama kerajaan, sektor swasta, rakan strategik dan warga BandarayaKU dalam merealisasikan aspirasi Bandar Pintar.
DBKU akan meneruskan usaha mempertingkat penyampaian perkhidmatan awam, penggunaan teknologi digital serta memastikan bandar raya kekal bersih, selamat dan mampan.
“Marilah kita terus memupuk semangat perpaduan, saling menghormati kepelbagaian budaya serta mengukuhkan rasa cinta kepada Sarawak,” tambahnya.
Beliau menggesa warga Bandaraya Kuching Utara menjadi ejen perubahan dengan menjaga kebersihan, memelihara kemudahan awam dan menyokong pembangunan bandar.
Katanya, penglibatan masyarakat penting bagi memastikan pembangunan memberi manfaat kepada generasi masa kini dan akan datang.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan Selamat Menyambut Hari Sarawak 2026 kepada seluruh rakyat Sarawak serta berharap negeri ini terus aman, makmur dan menjadi kebanggaan semua di bawah aspirasi Sarawak Maju Makmur.
