Generasi muda Sarawak jadi pencipta teknologi baharu

SIBU: Kerajaan negeri menawarkan pendidikan tinggi percuma dalam 64 program strategik bagi melahirkan tenaga mahir bagi ekonomi baharu.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, generasi muda Sarawak perlu menggunakan peluang pendidikan percuma ini.

“Mungkin suatu hari nanti kamu menjadi pencipta teknologi baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Town Hall Hari Sarawak 2026 di Universiti Teknologi Sarawak (UTS), di sini, petang tadi.

Abang Johari juga mahu mereka menjadi usahawan dalam ekonomi baharu dan menyeru mereka mengubah persepsi lama iaitu selepas tamat persekolahan mereka bekerja dengan kerajaan.

“Saya mahu anak Sarawak menjadi usahawan dalam ekonomi baharu yang disokong teknologi digital, AI dan inovasi,” katanya.

Turut hadir ialah tiga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Perayaan Hari Sarawak 2026, Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.