KUCHING: Sarawak bersedia mempelajari amalan terbaik Singapura dalam menghadapi cabaran negeri menua menjelang 2028.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ia turut membuka ruang kerjasama lebih luas dalam pembangunan wanita, kepimpinan komuniti, pendidikan awal kanak-kanak dan kesejahteraan sosial.
“Singapura lebih awal berdepan fenomena masyarakat menua mempunyai banyak pengalaman dan pendekatan yang boleh dijadikan penanda aras sebelum disesuaikan mengikut keperluan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Rakyat Majlis Rangkaian Integrasi Wanita (PA WIN) Singapura yang diketuai Menteri Negara Kanan Kementerian Ehwal Luar dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri, Singapura Sim Ann di Jabatan Wanita Keluarga Sarawak, Wisma Wanita di sini, hari ini.
Ujanrya, Sarawak memulakan penyelidikan sejak tahun lalu dan kini berada dalam fasa persediaan dalam menghadapi fenomena tersebut.
“Kami amat berminat untuk belajar daripada Singapura kerana negara ini jauh lebih awal melalui proses ini dan terdapat banyak amalan terbaik yang boleh dijadikan penanda aras serta disesuaikan dengan konteks Sarawak,” ujarnya.
Fatimah berkata, walaupun Sarawak sedang membuat persediaan ke arah status negeri menua, kerajaan negeri bukan bermula dari sifar kerana pelbagai inisiatif untuk warga emas telah dilaksanakan.
Antara inisiatif utama ialah Kenyalang Gold Card (KGC) yang memberi manfaat kepada semua warga emas tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.
