BINTULU: Pelbagai inisiatif bidang pendidikan dilaksanakan Kerajaan Sarawak membuktikan komitmen dalam memperkukuhkan sistem pendidikan yang memenuhi keperluan negeri dan ekonomi masa depan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr. Annuar Rapaee berkata, kejayaan inisiatif pendidikan itu adalah hasil autonomi yang diperoleh Sarawak dalam menuntut kembali hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Autonomi itu dimanfaatkan untuk melaksanakan pelbagai dasar pendidikan yang disesuaikan dengan keperluan pembangunan negeri serta melahirkan modal insan berdaya saing,” katanya ketika merasmikan Perpustakaan Sekolah dan Sudut STEM SMK Asyakirin di sini, hari ini.
Beliau berkata, Sarawak merupakan satu-satunya negeri yang melaksanakan pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris di semua sekolah.
Pada masa sama katanya, membangunkan enam sekolah menengah antarabangsa bagi memperluaskan akses kepada pendidikan bertaraf antarabangsa.
“Secara peribadi, saya lebih cenderung melihat dasar pendidikan dilaksanakan secara lebih berdesentralisasi berbanding sistem yang terlalu berpusat,” katanya.
Pendekatan tersebut diyakini mampu memperkukuh keupayaan Sarawak membentuk dasar pendidikan fleksibel dan responsif terhadap keperluan pembangunan negeri, tegas beliau.
