Sarawak guna model sendiri bangunkan perdagangan karbon

SARIKEI: Sarawak bersedia memulakan perdagangan karbon berdasarkan model dan keperluan negeri sendiri.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, walaupun undang-undang berkaitan di peringkat Persekutuan masih belum dilaksanakan sepenuhnya.

Namun katanya, Sarawak mempunyai perundangan sendiri yang membolehkan industri perdagangan karbon dibangunkan secara lebih teratur.

“Keadaan ini membuka peluang kepada syarikat tempatan dan antarabangsa untuk terlibat dalam industri karbon yang semakin mendapat perhatian di peringkat global.

“Walaupun undang-undang khusus di peringkat pusat belum ada, Sarawak sudah bersedia dengan peraturan sendiri. Ini membolehkan kita memulakan perdagangan karbon mengikut acuan negeri serta menarik minat pelabur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program EcoGreen Tree Planting 2026 di Dewan Masyarakat Kampung Rajang, hari ini.

Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang menjelaskan, potensi perdagangan karbon di Sarawak berkait rapat dengan usaha pemuliharaan hutan dan ekosistem semula jadi.

Sehubungan itu, beliau menghargai pemilihan Rajang Mangrove National Park sebagai lokasi program berkenaanz

Ini kerana katanya, ia selari dengan usaha kerajaan negeri dalam memelihara alam sekitar dan menangani perubahan iklim.

Katanya, Rajang Mangrove National Park merupakan kawasan paya bakau terbesar di Sarawak dan ketiga terbesar di Malaysia, sekali gus mempunyai nilai ekologi yang tinggi.

Dalam perkembangan sama, Lembaga Kebajikan Islam Kuala Rajang diberikan permit untuk menguruskan perdagangan karbon di kawasan tersebut.