KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa supaya melaksanakan proses persempadanan semula 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam tempoh munasabah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr. Safiee Ahmad berkata, persempadanan semula itu bukan semata-mata berkaitan pertambahan kawasan pilihan raya, sebaliknya langkah strategik bagi memastikan pentadbiran dan pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara lebih fokus serta berkesan.
Semakan semula persempadanan itu amat diperlukan memandangkan kali terakhir dilaksanakan pada 2015 dan kini telah melepasi tempoh lebih sedekad, katanya di sini, hari ini.
Dr Safiee berkata, sudah tiba masanya persempadanan semula dibuat kerana keadaan Sarawak hari ini banyak berubah dari segi pembangunan, taburan penduduk dan keperluan pentadbiran.
Keluasan Sarawak yang hampir menyamai seluruh Semenanjung Malaysia, tambahnya, menyebabkan terdapat kawasan DUN yang terlalu besar sehingga menyukarkan wakil rakyat melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.
“Cabaran yang dihadapi bukan sahaja melibatkan kos, malah turut membabitkan masa perjalanan, logistik dan faktor geografi terutama bagi kawasan luar bandar yang luas,” ujarnya.
Cadangan pertambahan kawasan DUN daripada 82 kepada 99 kerusi seperti yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 2015, katanya, menjadikan kawasan perwakilan lebih mudah diurus serta membolehkan wakil rakyat memberi tumpuan kepada rakyat.
