KUCHING: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) DUN N4 Pantai Damai disaran membantu kerajaan mengurangkan kadar kemiskinan melalui usaha meningkatkan pendapatan isi rumah, pendidikan dan kesejahteraan masyarakat.
Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, pemimpin akar umbi perlu memastikan setiap agenda pembangunan kerajaan memberi manfaat terus kepada rakyat.
“Seminar Kepimpinan KMKK DUN Pantai Damai menjadi medan memperkasakan peranan penghulu, ketua kaum, ketua kampung, ketua rumah dan kapitan dengan ilmu kepimpinan bagi melaksanakan amanah dengan lebih berkesan,” katanya semasa berucap pada Majlis Penangguhan Seminar Kepimpinan KMKK DUN N4 Pantai Damai, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pemimpin masyarakat perlu menjadi penghubung utama antara rakyat, kerajaan dan agensi berkaitan dalam mengenal pasti isu serta mencari penyelesaian di peringkat kampung.
Menurutnya, pembangunan kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air bersih, telekomunikasi dan internet di kawasan DUN Pantai Damai adalah hasil kerjasama semua pihak termasuk kepimpinan KMKK.
Tumpuan selepas ini perlu diberikan kepada peningkatan ekonomi rakyat menerusi peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan isi rumah serta pengurangan bilangan keluarga miskin dan miskin tegar, katanya.
“Ukuran kejayaan pembangunan bukan hanya melalui kemajuan fizikal, tetapi bagaimana ia meningkatkan taraf hidup, pendapatan dan kesejahteraan rakyat,” tambahnya.
Dr Abdul Rahman berkata, pendidikan merupakan laluan utama meningkatkan mobiliti sosial termasuk melalui inisiatif pendidikan tinggi percuma yang disediakan Kerajaan Sarawak kepada anak-anak negeri.
Katanya, pemimpin masyarakat perlu memainkan peranan menggalakkan generasi muda mengejar pendidikan kerana ilmu mampu membuka peluang ekonomi lebih baik untuk keluarga dan masyarakat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Daerah Kuching, ICU Jabatan Perdana Menteri (JPM) Sarawak, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak serta seluruh kepimpinan KMKK atas kerjasama menjayakan agenda pembangunan di DUN Pantai Damai.
