Padi Saka buka peluang kepada pelabur

MIRI: Pembangunan Padi Saka bukan sahaja memberi manfaat kepada petani menerusi penggunaan teknologi pertanian moden, malah membuka peluang kepada pelabur menyertai industri berkenaan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, industri terbabit boleh berkembang melalui sistem vendor yang membolehkan hasil tuaian dipasarkan kepada syarikat utama.

“Sarawak kini mengorak langkah membangunkan ekosistem industri Padi Saka secara menyeluruh daripada penyelidikan, penanaman, pemprosesan hingga pemasaran,” katanya pada Majlis Penuaian Projek Perintis Penanaman Padi Saka di SEWRCH SK Kuala Baram 2, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pembangunan ekosistem industri Padi Saka itu strategi memperkukuhkan sekuriti makanan serta meletakkan negeri ini sebagai pemain aharu dalam industri beras di rantau ASEAN.

“Kejayaan Sarawak menjadi wilayah pertama di Malaysia menghasilkan Padi Saka membuka ruang kepada kerajaan negeri memperluaskan penanaman varieti itu ke beberapa kawasan berpotensi, selain memperkukuh penyelidikan bersama Universiti Yunnan,” katanya.

Abang Johari berkata, sebuah pusat penyelidikan akan diwujudkan bagi membolehkan teknologi tersebut terus diperkasa sebelum diaplikasikan di kawasan lain termasuk Daro, Jemoreng dan beberapa kawasan pesisir pantai yang dikenal pasti sesuai untuk penanaman.

“Kita boleh menubuhkan sebuah pusat penyelidikan di sini bersama Universiti Yunnan. Hasil penyelidikan ini bukan hanya dimanfaatkan di kawasan ini, malah boleh diperluaskan ke lokasi lain,” katanya

Ketika ini, tambahnya, Sarawak hanya menghasilkan kira-kira 20 peratus daripada keperluan berasnya sendiri, namun penggunaan teknologi Padi Saka diyakini mampu meningkatkan pengeluaran domestik, mengurangkan kebergantungan kepada import dan menghasil lebihan bekalan untuk dieksport ke pasaran serantau.

Kerajaan negeri, katanya, akan menyediakan peruntukan menerusi kementerian berkaitan bagi memperluaskan teknologi berkenaan ke kawasan seperti Limbang, Lawas, Gedong, Lingga, Daro dan Jemoreng.