KUCHING: Sarawak memberi penekanan terhadap budaya integriti, tadbir urus dan penggunaan teknologi sebagai pemacu transformasi industri pembinaan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pendekatan berteraskan integriti penting dalam memastikan industri pembinaan negeri berkembang secara mampan sejajar dengan agenda pembangunan Sarawak.
“Integriti dan pembangunan perlu dilihat dari perspektif yang lebih luas kerana kejayaan sesuatu projek bukan hanya berdasarkan siapnya sesuatu struktur, tetapi nilai, impak dan manfaat yang diberikan kepada rakyat,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Hari Integriti dan Kecemerlangan Industri Pembinaan Sarawak 2026, di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, industri pembinaan bukan sahaja perlu menumpukan kepada pembangunan fizikal malah menjadi platform meningkatkan profesionalisme, kecekapan serta menghasilkan infrastruktur yang memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat.
Menurutnya, melalui Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 Sarawak (PCDS) 2030, pembangunan negeri berpandukan tiga tonggak utama iaitu keterangkuman sosial, kemakmuran ekonomi dan kelestarian alam sekitar.
Abang Johari berkata, Sarawak akan terus memperkukuhkan ekonomi negeri melalui pelbagai dasar termasuk strategi digital serta pengoptimuman sumber tenaga dan modal insan sebagai pemacu pertumbuhan masa hadapan.
Tambahnya, pelabur kini tidak hanya menilai kemudahan digital, tetapi turut mengambil kira kekuatan institusi, ketelusan proses, kestabilan dasar serta tahap integriti sesebuah destinasi pembangunan.
“Teknologi seperti Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM), automasi dan analitik data mampu meningkatkan kecekapan, mengurangkan risiko serta mempercepatkan proses membuat keputusan dalam pelaksanaan projek pembangunan,” ujarnya.
Transformasi industri pembinaan masa hadapan perlu menggabungkan kekuatan teknologi, inovasi dan kepakaran manusia bagi menghasilkan pembangunan berkualiti yang memenuhi keperluan generasi akan datang.
Beliau berkata, usaha memelihara integriti bukan tanggungjawab satu pihak sahaja sebaliknya melibatkan kontraktor, pembekal, pegawai teknikal, agensi pelaksana serta semua pihak dalam rantaian industri pembinaan.
Sarawak, katanya, akan terus memperkukuhkan tadbir urus menerusi pendidikan, penambahbaikan proses perolehan, pengurusan risiko serta penggunaan teknologi bagi meningkatkan ketelusan dan kecekapan dalam memastikan setiap sumber yang digunakan memberi manfaat maksimum kepada rakyat.
Hadir sama, Menteri Kerja Raya Malaysia Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Pengerusi CIDB Malaysia Dato Ir.Yusuf Abdul Wahab, Pengarah SPRM Sarawak Dato Hasbilah Mohamad Salleh dan Ketua Eksekutif CIDB Malaysia Ahmad Farrin Mokhtar.
