KUCHING: Sarawak Water sedang menyiasat kebocoran yang disyaki berlaku pada paip utama berdiameter 1100 milimeter jenis Mild Steel Cement Lined (MSCL) di Jalan Matang.
Dalam kenyataan media Sarawak Water, paip tersebut menyalurkan bekalan air terawat ke Takungan Bukit Siol bagi pengguna di Petra Jaya di sini dan kawasan sekitarnya.
Setakat ini, tiada gangguan bekalan air berjadual dilaksanakan dan pasukan teknikal sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti lokasi serta tahap kebocoran sebelum menentukan kaedah pembaikan yang sesuai.
Sarawak Water dalam kenyataan tersebut turut bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk kerja-kerja pengorekan bagi membolehkan injap pengasingan di pembahagi jalan diakses dengan selamat.
Memandangkan paip berkenaan merupakan antara saluran utama bekalan air ke Kuching dan kawasan sekitar, sebarang kerja pembaikan akan dirancang dengan teliti bagi meminimumkan gangguan kepada pengguna.
Sekiranya pembaikan memerlukan gangguan bekalan air sementara, notis rasmi akan dikeluarkan lebih awal yang memaklumkan kawasan terjejas, tempoh gangguan dan langkah mitigasi yang akan dilaksanakan.
Orang ramai, khususnya pengguna Jalan Matang Batu 6, dinasihatkan supaya berhati-hati serta mematuhi arahan lalu lintas kerana penghadang keselamatan, papan tanda amaran dan kawalan trafik telah dipasang di kawasan berkenaan.
Sarawak Water memberi jaminan bahawa pihaknya sedang memantau keadaan dengan rapi dan menggesa orang ramai mendapatkan maklumat terkini hanya melalui saluran komunikasi rasmi syarikat.
