Gangguan bekalan air: Sarawak Water hantar pasukan teknikal laksana kerja baik pulih

SAMARAHAN: Kebocoran paip utama menyebabkan gangguan bekalan air dan tekanan air rendah di Taman Desa Ilmu dan beberapa kawasan sepanjang Jalan Datuk Mohammad Musa dan sekitarnya, di sini.

Menurut kenyataan Sarawak Water, kebocoran paip utama bersaiz 800mm berhampiran Aiman Mall itu berpunca daripada kerja- kerja Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS)
di kawasan berkenaan.

Kebocoran tersebut turut menjejaskan penyaluran bekalan air terawat daripada Sarawak Water ke kawasan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Samarahan.

“Ini mengakibatkan gangguan bekalan air ke kawasan Tambirat, Asajaya, Sadong Jaya, Sebangan, Sebuyau, dan Simunjan,” menurut Sarawak Water.

Sehubungan itu, pasukan teknikal Sarawak Water digerakkan ke lokasi bagi melaksanakan kerja-kerja baik pulih secepat mungkin dan lori tangki air turut digerakkan ke kawasan memerlukan bantuan bekalan air sementara.

“Sarawak Water sedang bekerjasama rapat dengan JBALB, pihak KUTS serta agensi berkaitan bagi memastikan kerja-kerja baikpulih dapat dilaksanakan dengan selamat dan diselesaikan secepat mungkin,” tambahnya.

Selepas kerja-kerja baik pulih selesai, bekalan air akan pulih secara berperingkat apabila tekanan sistem agihan kembali stabil dan tempoh pemulihan mungkin berbeza mengikut lokasi.