Jerebu rentas sempadan: JBPM Sarawak tingkatkan rondaan, pantau pembakaran terbuka

KUCHING: Jerebu rentas sempadan dijangka memberi kesan signifikan terhadap keadaan cuaca di Sarawak susulan peningkatan ketara kes kebakaran terbuka sejak tiga hari lalu.

Timbalan Pengarah JBPM Sarawak, PPjB Tiong Ling Hii berkata, berdasarkan Laporan Analisa yang dikeluarkan Pusat Pakar Meteorologi Asean (ASMC) 9 Ogos (semalam) serta Analisa Ramalan oleh MyCMAQ, keadaan jerebu rentas sempadan dijangka terus memberi kesan kepada Sarawak.

Katanya, analisis trend kebakaran terbuka yang direkodkan pihaknya dari 1 hingga 9 Ogos menunjukkan peningkatan jumlah kes yang ketara bagi tempoh 7 hingga 9 Ogos.

“Keadaan ini amat membimbangkan sekiranya aktiviti pembakaran terbuka tidak dikawal sepenuhnya kerana boleh memburukkan lagi keadaan jerebu yang sedang melanda.

“Sehubungan itu, JBPM Sarawak menasihat orang awam supaya menghentikan aktiviti pembakaran terbuka bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk, terutama ketika negeri ini berdepan jerebu rentas sempadan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, JBPM Sarawak akan terus meningkatkan aktiviti rondaan bagi mengenal pasti dan memastikan tiada aktiviti pembakaran terbuka dilakukan oleh orang awam.

“JBPM juga akan memberikan nasihat secara berterusan kepada pihak yang didapati sengaja melakukan pembakaran terbuka.

“Laporan kepada pihak berwajib akan dilakukan sekiranya mereka masih ingkar,” tegasnya.