KUCHING: Pergerakan Belia Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Pantai Damai menganjurkan Program ‘Secangkir Kopi Bersama YB Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi’ di sini, malam tadi.
Ia sebagai platform santai bagi merapatkan jurang komunikasi antara kepimpinan tempatan dan golongan belia.
Program tersebut menghimpunkan kira-kira 60 orang belia dari kawasan Pantai Damai, khususnya yang mewakili Zon Santubong.
Untuk rekod, kawasan DUN Pantai Damai merangkumi tiga zon utama iaitu Zon Santubong, Zon Seberang Hilir dan Zon Telaga Air.
Ketua Pergerakan Belia PBB Cawangan Pantai Damai, Nurashniza Ashwin berkata inisiatif ini dirancang khas bagi membolehkan golongan belia berinteraksi secara bersemuka dengan wakil rakyat.
”Sesi interaktif ini memberi ruang kepada para untuk menyuarakan pandangan, aspirasi serta cadangan konstruktif berhubung pembangunan belia dan kemajuan komuniti setempat,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi meluahkan rasa bangga dan berharap belia menjadi modal insan berkebolehan tinggi dan berdaya saing.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai mahu melihat anak-anak muda di kawasan berkenaan tampil sebagai individu berjaya dalam bidang masing-masing bagi memacu pembangunan masa depan Sarawak maju dan makmur.
Turut hadir Ketua Pergerakan Wanita PBB Cawangan, Rosmah Zaini, Setiausaha PBB Cawangan, Sebeki Jen dan Timbalan Ketua Pergerakan Pemuda PBB Cawangan, Mohamad Zullizam.
