SRI AMAN: Peruntukan sebanyak RM366,000 disalurkan kepada 55 penerima menyokong pelaksanaan program komuniti.
Antara penerima terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pelbagai organisasi di kawasan Sri Aman.
Sumbangan berkenaan disampaikan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Balai Ringin, Senator Susan Chemerai Anding, di sini semalam.
Susan yang juga Ahli Dewan Negara berkata, bantuan tersebut mencerminkan keprihatinan dan komitmen berterusan kepimpinan setempat memperkukuhkan peranan organisasi akar umbi sebagai penggerak pembangunan komuniti.
Menurutnya, sumbangan itu bertujuan membantu penerima melaksanakan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada penduduk di kawasan masing-masing.
Ini termasuk dalam bidang pendidikan, sukan, rekreasi, sosial, seni dan kraf tangan.
“Setiap sumbangan yang diberikan bagi membantu komuniti melaksanakan aktiviti untuk memperkasa pendidikan, pembangunan sosial, sukan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
