Kerajaan sasar empat jambatan utama siap hujung tahun ini

LIMBANG: Projek pembinaan empat jambatan di seluruh negeri ini disasarkan siap hujung tahun ini.

Jambatan tersebut ialah Jambatan Sungai Limbang, Jambatan Batang Lupar 2, Jambatan Batang Rambungan dan Jambatan Batang Saribas 2.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir. Aidel Lariwoo berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak diberi tanggungjawab sebagai agensi peneraju melaksanakan projek itu.

“Agensi peneraju melaksanakan projek itu terus memberi komitmen untuk menyiapkan projek tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan kerja ke Jambatan Sungai Limbang di sini, hari ini.

Sementara itu, mengenai Projek pembinaan Jambatan Sungai Limbang, Aidel berkata kemajuannya pembinaan sudah mencapai 90 peratus dan berbaki sedikit untuk disiapkan.

Katanya, ini termasuk komponen jalan ke seberang dan satu lagi jambatan kecil iaitu Jambatan Sungai Bunut.