Sarawak sasar pertahankan kejuaraan Para SUKMA ke-15

KUCHING: Kontinjen Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) Sarawak menyasarkan sekurang-kurangnya 70 pingat emas
dalam usaha mempertahankan gelaran juara keseluruhan pada temasya Para SUKMA Ke-22 Selangor 2026.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, seramai 383 atlet dan pegawai akan menyertai temasya kali ini.

Katanya, sebanyak 10 jenis sukan membabitkan 338 acara akan disertai dan dijadual berlangsung dari 5 hingga 10 September depan.

“Sarawak sebelum ini muncul juara keseluruhan Para SUKMA 2024 selepas mengumpul 82 emas, 53 perak dan 74 gangsa.

“Pelbagai persiapan dilaksanakan sejak tamat temasya 2024, termasuk latihan berpusat, kejohanan pendedahan, pemantauan prestasi, sokongan sains sukan serta peningkatan keupayaan jurulatih,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan pada majlis penyerahan bendera kontinjen Sarawak ke temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke 22 dan Para SUKMA Selangor 2026 di Hotel Raia, di sini, hari ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyempurnakan majlis tersebut.

Dengan slogan “One Family. One Mission. Sarawak Champion”, kontinjen Para Sarawak bertekad membawa mandat rakyat negeri itu untuk mempertahankan kejuaraan yang diraih pada 2024, ujarnya.