KUCHING: Amanah Kebajikan Unit Agama-Agama Lain Sarawak (SUCT UNIFOR) memperluas pelaksanaan program pendidikan, kebajikan serta keagamaan menerusi sokongan kewangan RM1 juta daripada Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata sumbangan tersebut memberi ruang kepada SUCT melaksanakan pelbagai inisiatif demi manfaat masyarakat.
“Pendidikan di luar bandar menjadi keutamaan bagi memastikan masyarakat mendapat akses yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan sumbangan RM1 juta dari PETROS kepada SUCT di sini, hari ini.
Douglas Uggah berkata, SUCT melaksanakan sebanyak 26 program merangkumi inisiatif kebajikan, aktiviti keagamaan dan kerohanian serta sokongan kepada sekolah misi sepanjang 2025 dan 2026.
Beliau berkata, SUCT turut memberi perhatian terhadap usaha meningkatkan prestasi sekolah misi luar bandar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), selaras dengan keperluan pendidikan masa kini.
Sementara itu, Pengerusi PETROS, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Hamid Bugo, berkata sumbangan RM1 juta berkenaan memperlihatkan komitmen syarikat terhadap pembangunan mampan yang inklusif dan dipacu komuniti.
