Pembenihan awan dipertimbang susulan jerebu Kalimantan

KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang memantau perkembangan jerebu yang dipercayai berpunca dari Kalimantan Barat, Indonesia.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, langkah tersebut
termasuk melaksanakan operasi pembenihan awan sekiranya keadaan bertambah buruk.

“Setakat ini belum ada keputusan untuk melaksanakan pembenihan awan.

“Ini kerana pihak berkuasa masih menilai keadaan cuaca dan perkembangan jerebu dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui media selepas Sambutan Hari Integriti Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, hari ini.

Beliau berkata, ramalan turut menunjukkan hujan dijangka turun sekitar 30 peratus menjelang Jumaat atau Sabtu.

“Kita berdoalah ada sedikit hujan supaya ia akan meredakan lagi keadaan,”katanya.

Menurutnya, bacaan Indeks Pencemaran Udara (API) di beberapa kawasan khususnya di selatan Sarawak kini berada pada tahap tidak sihat.

Tambanya, Kuching mencatat sekitar 175, Samarahan 174, manakala Tebedu melebihi 200 dan dikategorikan sangat tidak sihat.

Jelasnya, Sibu pula mencatat sekitar 151, Sri Aman 161, manakala kebanyakan kawasan lain merekodkan bacaan melebihi 100, kecuali di bahagian utara Sarawak.

Len Talif berkata, pemantauan dilakukan setiap jam, termasuk perkembangan cuaca di Kalimantan yang dipercayai menjadi sumber jerebu.

Katanya, walaupun bacaan di Pontianak sudah mencecah sekitar 300, beliau tidak menjangkakan bacaan di Sarawak mencapai tahap berkenaan berdasarkan ramalan cuaca semasa.

“Kita harap ia tidak mencapai bacaan 500.

Kita sedang membuat persiapan tertentu, tetapi buat masa ini keadaan belum terlalu teruk,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai termasuk murid sekolah supaya mengurangkan aktiviti luar dan mengambil langkah berjaga-jaga sehingga keadaan jerebu kembali pulih.