Regata Batang Kayan tawar hadiah lumayan

LUNDU: Regata Batang Kayan 2026 bakal berlangsung selama tiga hari mulai 25 hingga 27 September depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Pehin Sri Adenan berkata, pelbagai acara sukan air, kebudayaan, hiburan, keusahawanan dan rekreasi bakal diadakan sepanjang program.

“Acara dwi-tahunan ini dijangka menarik kira-kira 30,000 pengunjung.

“Acara ini juga menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat, pemerkasaan komuniti dan pembangunan belia,” katanya semasa sidang media berhubung regata tersebut, di sini, hari ini.

Tambahnya, antara yang menjadi perhatian adalah pertandingan Raja Sungai Batang Kayan 2026 yang menawarkan hadiah utama RM20,000, manakala keseluruhan hadiah wang tunai berjumlah RM106,250.

Sementara itu, katanya, majlis perasmian dijangka disempurnakan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, manakala majlis penangguhan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.