PINTAR 2026, resolusi perlukan tindakan

KUCHING: Resolusi Persidangan Pemantapan Integriti, Tatakelola dan Antirasuah (PINTAR) 2026 perlu diterjemahkan kepada tindakan nyata di setiap jabatan kerajaan bagi memastikan agenda integriti tidak sekadar menjadi perancangan.

Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, budaya integriti dalam perkhidmatan awam tidak boleh terhenti pada perbincangan atau perancangan, sebaliknya mesti disusuli pelaksanaan yang konsisten dan boleh diukur.

“Jangan cakap sahaja, jangan rancang sahaja.

“Mesti diterjemahkan kepada tindakan, laksana apa yang telah diperkatakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan PINTAR 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Menurutnya, perkara itu penting ketika Sarawak berada dalam fasa pembangunan pesat dan memasuki lima tahun terakhir menuju sasaran Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).

Katanya, ini terutama dalam memastikan projek pembangunan dilaksanakan mengikut jadual, spesifikasi dan tatakelola yang ditetapkan.

“Tidak kira sama ada anda seorang perkhidmatan awam negeri ataupun seorang perkhidmatan awam Persekutuan, kita bekerja sebagai satu pasukan. Inilah kekuatan kita dalam perkhidmatan awam,” tambahnya.

Beliau turut mengingatkan ketua jabatan supaya memperkemaskan mekanisme semak dan imbang menerusi pemantauan berkala.

Selain itu, semakan berperingkat dan pemeriksaan mengejut, selain memastikan peranan Ketua Pegawai Integriti (CEIO) dilaksanakan secara berkesan.

Dalam masa sama, kerjasama antara perkhidmatan awam negeri dan Persekutuan perlu terus diperkasa bagi memastikan penyampaian perkhidmatan serta pelaksanaan agenda pembangunan Sarawak berjalan secara bersepadu.