Ketua jabatan benteng utama cegah salah guna kuasa

KUCHING: Ketua jabatan di Sarawak disifatkan sebagai benteng utama dalam memastikan budaya integriti, tatakelola baik dan akauntabiliti menjadi amalan di setiap organisasi.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, peranan ketua jabatan bukan sekadar melaksanakan urusan pentadbiran, malah menentukan budaya kerja serta menjadi penilai risiko organisasi.

“Anda semua adalah penentu corak budaya kerja, penilai risiko dan benteng hadapan dalam mempertahankan dasar serta maruah organisasi daripada dicemari sebarang isu salah guna kuasa dan amalan tidak berintegriti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Persidangan Pemantapan Integriti, Tatakelola dan Antirasuah (PINTAR) 2026, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohammad Abu Bakar Marzuki, Mantan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Dri Datuk Seri Ayub Khan Mydin Pitchay, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato Azmi Kamaruzaman, dan Penasihat Antirasuah Pejabat Serantau Asia Tenggara dan Pasifik, UNODC, Annika Wythes.

Menurutnya, pendekatan secara hierarki dari atas ke bawah perlu diterapkan dalam pembudayaan integriti supaya pemimpin menjadi contoh dan teladan kepada warga kerja selain menjadi pihak pertama mengambil tindakan terhadap salah guna kuasa.

Katanya, PINTAR 2026 menetapkan tiga matlamat utama iaitu meningkatkan kefahaman, menyelaraskan pendekatan serta meningkatkan keupayaan menangani kelemahan tatakelola dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Beliau turut menekankan kepentingan mekanisme semak dan imbang serta akauntabiliti dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kekal telus dan berkesan.

“Kita tidak boleh berkompromi terhadap sebarang bentuk kelemahan, ketirisan atau salah guna kuasa kerana kepincangan dalam tatakelola boleh menjejaskan pembangunan negeri dan menghakis keyakinan serta kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran kerajaan,” ujarnya.

Dr Juanda berkata, tuntutan terhadap integriti semakin penting susulan pelaksanaan projek berimpak tinggi, pengurusan sumber dan dana berskala besar serta pembentukan dasar ekonomi baharu di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).

PINTAR 2026 dianjurkan Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak bersama SPRM Sarawak sebagai platform menyatukan kepimpinan agensi Persekutuan dan Negeri dalam memastikan agenda integriti terus menjadi asas kepada kecemerlangan perkhidmatan awam Sarawak.