KUCHING: Integriti mesti menjadi asas setiap dasar, keputusan dan tindakan bagi memastikan kemajuan Sarawak memberi manfaat kepada rakyat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, integriti merupakan amanah bersama yang perlu dipikul seluruh ekosistem pentadbiran dan masyarakat.
“Ukuran sebenar kemakmuran Sarawak bukan sekadar pada pertumbuhan ekonomi atau jumlah pembangunan yang dicapai, tetapi sejauh mana hasil kemajuan tersebut dapat dirasai oleh rakyat,” katanya berucap pada Sambutan Hari Integriti Sarawak (HIS) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Premier Sarawak berkata, pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) perlu disokong integriti, akauntabiliti dan ketelusan dalam setiap dasar, program serta projek.
Menurutnya, setiap proses perolehan perlu dilaksanakan secara telus dan kompetitif, manakala projek mesti dipantau dari peringkat perancangan hingga penyerahan bagi memastikan kos, tempoh, spesifikasi dan kualiti dipatuhi.
“Projek itu hanya benar-benar berjaya apabila selamat digunakan, berkualiti, menepati keperluan rakyat dan memberikan manfaat yang setimpal dengan perbelanjaan awam,” tambahnya.
Abang Johari berkata, agenda pembangunan Sarawak turut merangkumi tenaga hijau, pendidikan, transformasi digital dan pembangunan modal insan, termasuk melalui Dasar Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P) serta Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES).
Beliau berkata, transformasi digital melalui inisiatif seperti SarawakPass, S PAY GLOBAL dan Pusat Sains Sarawak juga perlu berpandukan keselamatan data, perlindungan privasi, akauntabiliti dan keterangkuman.
Katanya, penubuhan Ombudsman Sarawak serta peranan Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) penting bagi memastikan aduan rakyat diberi perhatian, kelemahan sistem dikenal pasti dan tadbir urus terus ditambah baik.
Sehubungan itu, beliau menegaskan budaya integriti perlu bermula dari rumah, dipupuk di sekolah dan diamalkan dalam komuniti bagi membentuk masyarakat yang berprinsip, bertanggungjawab serta menjadi asas kepada kemakmuran Sarawak yang inklusif dan mampan.
