KUCHING: Sarawak mempunyai 208 Pegawai Integriti yang dilatih oleh pihak berkaitan sebagai penggerak budaya integriti dalam organisasi, setakat ini.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, pegawai terbabit berperanan membantu mengenal pasti risiko, memperkukuh kawalan dalaman, memberikan pandangan profesional serta memastikan nilai integriti diterapkan dalam amalan kerja seharian.
“Budaya integriti harus dijadikan sebagai amalan harian dalam perkhidmatan awan serta sektor lain untuk memantau pelbagai program dan inisiatif pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya dalam ucapan aluan sempena Hari Integriti Sarawak 2026 (HIS 2026) di sini hari ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan HIS 2026 yang dihadiri 3,000 peserta dan kira-kira 9,000 peserta lagi secara maya di seluruh Sarawak.
Mohamad Abu Bakar berkata, bagi pihak perkhidmatan awam Sarawak menegaskan komitmen untuk terus melaksanakan tugas dengan penuh integriti dan profesionalisme.
Setiap amanah dan tanggungjawab yang diberikan, katanya, akan dilaksanakan dengan mengutamakan kepentingan rakyat serta memastikan setiap keputusan yang dibuat membawa manfaat kepada Sarawak.
Beliau berkata, nilai dan amanah perlu menjadi pegangan bersama dan sumber inspirasi dalam usaha membina Sarawak sebagai sebuah negeri maju serta mencapai aspirasi pembangunan menjelang 2030.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato Sri’ Shamsul Azri Abu Bakar pula berkata, integriti bukan sekadar pematuhan kepada peraturan atau usaha mengelakkan rasuah.
“Tetapi keselarasan antara nilai, keputusan dan tindakan, termasuk kesanggupan melakukan perkara yang betul walaupun tiada siapa yang melihat,” katanya.
Di peringkat nasional, katanya, usaha memperkukuhkan integriti dan tatakelola terus menunjukkan perkembangan positif melalui Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) dan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB).
Tambahnya, antara pencapaian tersebut ialah kedudukan Malaysia yang meningkat ke tangga ke-15 daripada 70 ekonomi dunia.
“Kedudukan tersebut dikeluarkan dalam Laporan Penarafan Daya Saing Dunia (IMD) 2026, selain peningkatan dalam kecekapan kerajaan dan perniagaan,”ujarnya.
