Kuching catat tangkapan tertinggi dadah

KUCHING: Sarawak merekodkan tangkapan seramai 9,554 orang dalam operasi penguatkuasaan membanteras dadah bagi tempoh Januari hingga Julai 2026.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata Daerah Kuching mencatatkan bilangan tertinggi dengan tangkapan seramai 2,541 orang.

“Ini diikuti Bintulu (1,101 orang); Miri (1,068 orang); Daerah Sibu (948 orang); dan Samarahan (422 orang),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas perkongsian berkaitan Hasil Bengkel Pelan Tindakan Bersepadu Daerah Terkawal Dadah oleh Program Dasar Antidadah Malaysia DPPM), di sini, hari ini.

Fatimah menjelaskan, daripada jumlah tangkapan sebanyak 9,554 orang, seramai 456 orang melibatkan pengedaran; 1,760 orang memiliki dadah dan substans; dan 7,338 individu disaring positif urin.

Menurutnya, sebanyak 1,376,218.62 gm (1,376 kg) dadah dan substans berbentuk mampat; dan 6,376 berbentuk pil dirampas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Kastam dengan anggaran nilai berjumlah RM50,105,805.23 (RM50 juta).

Selain itu, beliau juga mendedahkan cadangan menjadikan Sarawak sebagai lokasi Program Perintis Dasar Dadah merupakan satu perkara yang wajar diperhalusi melalui perbincangan bersama kerajaan negeri.

Katanya, ini juga membabitkan Kerajaan Persekutuan, polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Kesihatan Malaysia, agensi sosial, institusi akademik, pertubuhan masyarakat sivil serta pihak berkepentingan berkaitan.

“Program perintis boleh menjadi platform untuk mengenal pasti cabaran sebenar pelaksanaan di lapangan, menguji keberkesanan mekanisme intervensi dan koordinasi antara agensi,” tambahnya.

Fatimah berkata, ini juga akan mendapatkan bukti tempatan sebelum sebarang peluasan atau perubahan dasar yang lebih besar dipertimbangkan.