Golongan rentan sasaran utama jenayah siber

KUCHING: Golongan pesara, pemimpin masyarakat dan belia perlu meningkatkan kewaspadaan terhadap ancaman jenayah siber yang semakin kompleks.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, golongan pesara antara kumpulan yang sering menjadi sasaran penjenayah siber kerana mempunyai simpanan serta lebih banyak masa menggunakan telefon bimbit.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya tidak menganggap penipuan siber hanya berlaku kepada orang lain kerana penjenayah menggunakan pelbagai taktik psikologi untuk memperdayakan mangsa.

“Penjenayah akan sentiasa mengambil kesempatan terhadap golongan yang rentan atau mudah percaya, seperti anak muda yang mencari pekerjaan mahupun wanita dan ibu tunggal yang berdepan tekanan emosi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penangguhan Program Wacana Bestari: Klik Bijak, Waspada Jenayah Siber, di sini, hari ini.

Fatimah menjelaskan, ilmu dan maklumat yang diperoleh sepanjang program dua hari ini boleh disampaikan kepada komuniti masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan peserta terdiri daripada pesara, ketua kaum, ketua masyarakat dan wakil NGO kerana mereka mempunyai pengaruh dalam komuniti masing-masing.

Beliau turut mengambil iktibar daripada kes 47 rakyat Malaysia, kebanyakannya anak muda Sarawak, yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan di Kemboja selepas dijanjikan gaji RM6,000 sebulan.

Kesemua mangsa berjaya dibebaskan dan dibawa pulang hasil kerjasama Kementerian Luar Negeri Malaysia, Kerajaan Sarawak dan pihak berkuasa Kemboja.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak bagi tempoh 2024 hingga April 2026, sebanyak 5,875 kes jenayah siber direkodkan dengan jumlah kerugian mencecah RM233.48 juta.