Teknologi dron bantu tingkatkan hasil pertanian

SANTUBONG: Penerimaan petani di kawasan Pantai Damai terhadap penggunaan teknologi moden semakin positif, khususnya teknologi dron bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil pertanian.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, teknologi itu digunakan bagi kerja pengairan, semburan baja serta pemetaan fotografi udara.

Ia bertujuan mengenal pasti tahap kesuburan dan keadaan tanaman.

“Demonstrasi penggunaan dron semasa program penyerahan bantuan Peruntukan Fasilitasi Pertanian (AFF) di Telaga Air pada Mei lalu berjaya menarik minat petani.

“Ada antara mereka yang berhasrat mendapatkan khidmat dron daripada Jabatan Pertanian atau memilikinya sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penyerahan input pertanian di bawah Program AFF kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Lumut, di sini, hari ini.

Tambah beliau, inisiatif kerajaan memperkenalkan teknologi pertanian moden tersebut dilihat penting dalam usaha meningkatkan kecekapan pengurusan ladang serta mutu dan kualiti hasil pertanian.

Dr Abdul Rahman turut menggalakkan petani memperluaskan pengeluaran dan meneroka tanaman baharu termasuk padi serta tanaman komersial bernilai tinggi.

“Pantai Damai mempunyai aktiviti pertanian yang pelbagai termasuk kelapa pandan, kelapa sawit secara kecil-kecilan, keladi, buah naga dan sayur-sayuran.

“Pengusaha Kampung Sungai Lumut membekalkan sayur segar ke pasaran tempatan dan Kuching, manakala petani di Pasir Pandak dan Salak beralih kepada durian komersial seperti Musang King dan Black Thorn,” ujarnya.

Seramai 28 pengusaha dari Kampung Sungai Lumut, Kampung Sungai Batu dan Kampung Salak menerima bantuan AFF bernilai keseluruhan RM81,000.

Daripada jumlah itu, RM75,000 disalurkan kepada 25 pengusaha pertanian dalam bentuk baja, mesin pemotong rumput dan peralatan lain, manakala RM6,000 diberikan kepada tiga pengusaha perikanan darat.

Sebelum ini, siri pertama bantuan AFF di Telaga Air melibatkan 142 penerima dari 13 kampung. – NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI