Jerebu: 647 sekolah Sarawak ditutup 7- 11 September, PdPR dilaksana

KUCHING: Sebanyak 647 sekolah di Sarawak melibatkan 198,559 murid akan ditutup sementara selama lima hari bermula 7 hingga 11 September ini susulan jerebu dan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada paras tidak sihat di beberapa lokasi.

Menurut kenyataan media Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak, penutupan itu melibatkan 563 sekolah rendah dengan 108,477 murid serta 84 sekolah menengah membabitkan 90,082 murid.

Sebanyak 12 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) terlibat iaitu Kuching, Padawan, Bau, Lundu, Samarahan, Simunjan, Serian, Sri Aman, Lubok Antu, Kanowit, Julau dan Meradong.

Keputusan itu dibuat berdasarkan pemantauan berterusan bacaan IPU sepanjang cuti persekolahan serta laporan Jabatan Meteorologi Malaysia.

Dalam kenyataan media tersebut, sepanjang tempoh penutupan, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan bagi memastikan proses pembelajaran murid diteruskan.

JPN Sarawak turut mengingatkan semua sekolah supaya mematuhi prosedur operasi standard dan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan pengurusan sekolah ketika jerebu serta mengutamakan kesihatan dan keselamatan murid serta guru.

Institusi pendidikan juga diminta sentiasa memantau perkembangan IPU menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) dan mematuhi saranan kesihatan yang dikeluarkan.

Sebarang perubahan atau perkembangan terkini berhubung penutupan sekolah akan dimaklumkan oleh JPN Sarawak dari semasa ke semasa.