Pelajar cemerlang STPM terima insentif pendidikan

MUKAH: Insentif penghargaan berjumlah RM5,400 diagihkan kepada 33 pelajar cemerlang STPM 2025 dan empat guru SMK Three Rivers Mukah di sini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine menyempurnakan majlis penyampaian itu.

Pada masa sama, beliau turut menyampaikan sumbangan melanjutkan pelajaran bagi tahun 2026 berjumlah RM37,500 kepada seramai 105 penerima.

Mereka ini akan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) dan institusi kemahiran.

Sumbangan itu kata Royston, bagi membantu meringkan beban penerima untuk meneruskan pengajian di IPT dan institusi pengajian dalam daerah Mukah, negeri dan di luar Sarawak.

Royston berkata, sungguhpun sumbangan itu merupakan satu usaha kecil tetapi penuh bermakna untuk menghargai kecemerlangan, meringankan keperluan awal pengajian dan memberi semangat kepada anak-anak mengejar cita-cita.

Beliau berharap bantuan dan penghargaan itu menjadi pembakar semangat untuk terus berusaha, menimba ilmu dan kemahiran dan kembali menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negeri ini.

Pendidikan merupakan pelaburan paling bermakna dalam membina masa depan generasi muda, katanya.

Beliau menambah, Biro Pendidikan Mukah di bawah DUN N57 Tellian akan terus berusaha memberi galakkan, penghargaan dan sokongan kepada anak-anak Mukah yang gigih mengejar kecemerlangan.