ROBAN: Ketinggian weir di Loji Rawatan Air (LRA) Lichok yang hanya mampu menampung keperluan bekalan air kira-kira dua minggu untuk penduduk di Kabong dan di sini wajar ditinggikan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd. Chee Kadir berkata, ketinggian weir berkenaan perlu disegerakan daripada tiga kepada lima meter bagi memperkukuhkan rizab air mentah.
Kapasiti takungan sedia ada hanya mampu menampung keperluan bekalan air kira-kira dua minggu sekiranya hujan tidak turun, katanya kepada media selepas meninjau keadaan LRA Lichok di sini, hari ini.
Menurut Chee Kadir, peningkatan ketinggian weir merupakan langkah strategik untuk memastikan bekalan air lebih terjamin.
Tempoh simpanan yang terhad itu membuktikan keperluan mendesak untuk memperkukuhkan sistem takungan air mentah, terutama bagi menghadapi musim kemarau berpanjangan, tegas beliau.
Beliau berharap Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) serta Kementerian Utiliti dapat merancang dan mempertimbangkan cadangan untuk meninggikan weir itu ke paras yang lebih tinggi.
Chee Kadir menjelaskan, weir yang lebih tinggi akan membolehkan lebih banyak air mentah ditakung sebagai rizab, sekali gus mengurangkan risiko gangguan bekalan ketika cuaca kering.
Bekalan air di kawasan Kabong dan Roban dilaporkan pulih semalam selepas hujan turun susulan operasi pembenihan awan, selepas kawasan berkenaan berdepan kemarau kira-kira dua minggu.
Bagaimanapun, Chee Kadir menegaskan hujan yang memulihkan bekalan buat sementara waktu tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian kekal kerana sumber air mentah masih terdedah kepada perubahan cuaca, selain saiz hulu Sungai Sebetan yang kecil.
“Kita perlu melihat perkara ini sebagai penyelesaian jangka panjang, bukan sekadar bertindak apabila krisis bekalan air berlaku. Harapan saya agar projek menaikkan weir ini dapat disegerakan kerana ia melibatkan kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan isu berkenaan akan dibangkitkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Oktober ini bagi mendapatkan perhatian dan tindakan lanjut pihak berwajib.
