Festival Sastera Sarawak 23-27 Septemberi ini di Miri

KUCHING: Festival Sastera Sarawak 2026 (SLF2026) akan menjadi platform dalam usaha Miri mendapatkan pengiktirafan sebagai Bandar Kreatif Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam bidang sastera.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, SLF2026 itu akan diadakan di Stadium Tertutup Miri pada 23 hingga 27 September ini.

SLF2026 bukan sekadar pesta buku, malah menghimpunkan pelbagai pihak termasuk penulis, penerbit, pendidik, pelajar dan penggiat industri kreatif, katanya pada sidang media Festival Sastera 2026 dan Aspirasi Miri sebagai Kota Sastera UNESCO di sini, hari ini.

Beliau berkata, inisiatif tersebut selari dengan agenda Sarawak dalam memperkukuhkan sektor pelancongan, budaya, warisan dan industri kreatif.

“Kita dapat mengetengahkan sastera, kreativiti dan warisan Sarawak, selain membuka peluang kerjasama serta memperkenalkan karya tempatan ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau menambah festival itu juga merupakan wadah untuk membina momentum pencalonan Miri ke UNESCO.

Kepelbagaian lebih 30 etnik di Sarawak, ujarnya, dapat menawarkan khazanah cerita, bahasa dan tradisi yang berpotensi dikembangkan dalam pelbagai produk kreatif.

“Pada masa sama, dokumentasi dan penerbitan cerita serta bahasa tempatan perlu dipergiatkan. Langkah ini demi memastikan khazanah terus terpelihara untuk generasi akan datang,” tegasnya.