Sarawak sasarkan pelaburan kukuh syarikat tempatan

KUCHING: Sarawak mahu memastikan pelaburan yang masuk ke negeri ini memberi impak ekonomi lebih besar menerusi pengwujudan pekerjaan berkualiti, pemindahan teknologi dan pengetahuan serta pengukuhan syarikat tempatan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, negeri ini kini memasuki fasa pembangunan seterusnya selepas berjaya memperkukuhkan asas pelaburan, infrastruktur industri dan kepelbagaian ekonomi.

Menurutnya, keutamaan ketika ini adalah memastikan pelaburan mempunyai hubungan kukuh dengan ekonomi tempatan, sekali gus membuka peluang kepada syarikat Sarawak menyertai rantaian nilai serantau dan global.

“Antara 2021 hingga 2025, Sarawak memperoleh RM116 bilion pelaburan diluluskan dalam sektor utama, pembuatan dan perkhidmatan.

“Daripada jumlah itu, 61 peratus merupakan pelaburan domestik dan momentum ini berterusan dengan RM11.2 bilion pelaburan diluluskan direkodkan pada separuh pertama 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Forum Rantaian Bekalan dan Penyumberan Global Sarawak 2026 di Hotel Pullman, di sini, hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak menegaskan bahawa menarik pelaburan sahaja tidak mencukupi, sebaliknya nilai ekonomi terhasil perlu dikekalkan dan dikembangkan dalam Sarawak.

Katanya, pendekatan itu selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) untuk membangunkan Sarawak sebagai ekonomi perindustrian yang pelbagai, dipacu teknologi, mampan dan mempunyai hubungan global.

Tambah beliau, transformasi ekonomi negeri kini membuka peluang dalam pelbagai bidang termasuk pembuatan termaju dan semikonduktor, tenaga hijau, hiliran minyak dan gas serta petrokimia, logam hijau, hidrogen dan teknologi bersih.

“Potensi turut berkembang dalam ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), aeroangkasa, kejuruteraan ketepatan, pertanian dan pembuatan makanan,” ujarnya.

Dalam masa sama, katanya, pelaburan utama di kawasan perindustrian strategik di Kuching, Bintulu dan Miri perlu membuka lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan dalam pelbagai sektor.

“Kita bukan sekadar mahu menambah jumlah pembekal tempatan, tetapi mahu syarikat kita bergerak ke tahap lebih tinggi dalam rantaian nilai,” katanya.

Kerajaan negeri pula, jelasnya, akan terus menyediakan persekitaran kondusif menerusi pembangunan infrastruktur, taman perindustrian, utiliti, kesalinghubungan dan keupayaan digital.

Selain itu, ujarnya, kerajaan negeri terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, MIDA, MATRADE, InvestSarawak serta rakan strategik bagi memudahkan cara pelaburan dan menangani halangan terhadap pengembangan perniagaan. — NORAIDA ABDUL KASSIM / JIWA BAKTI