Pindaan terhadap SLO dimuktamad, diserah kepada KESUMA

KUCHING: Pindaan terhadap Ordinan Buruh Sarawak (SLO) telah dimuktamadkan dan diserahkan kepada Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk tindakan lanjut, menurut Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen Dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala.

Katanya, ia kemudian dihantar kepada Jabatan Peguam Negara bagi penilaian lanjut selari dengan Konvensyen Buruh Antarabangsa dan pindaan terbaharu Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022).

Jelas beliau, SLO merupakan undang-undang hanya terpakai di Sarawak namun ia adalah undang-undang Persekutuan dan apabila sudah dibentang dan dilulus di parlimen, ia tidak perlu lagi dibentang dan diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 Peringkat Sarawak anjuran MTUC Bahagian Sarawak di sini.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis berkenaan, Datuk Gerawat turut memberitahu, antara cadangan pindaan itu adalah cuti paterniti sebanyak tujuh hari kepada pekerja lelaki supaya mereka dapat menyambut kelahiran anak, menjaga isteri yang baru bersalin dan menyelesaikan urusan seperti pendaftaran anak.

Selain itu menurut beliau, cuti bersalin ditingkatkan daripada 60 hari kepada 98 hari di mana cadangan ini selaras dengan ‘Maternity Protection Convention 2000’ yang memperuntukkan tempoh cuti bersalin hendaklah tidak kurang daripada 14 minggu.

Ia termasuk pengurangan waktu kerja mingguan dari 48 jam kepada 45 jam untuk meningkatkan produktiviti buruh dan memelihara kebajikan pekerja serta keluarga.