Surat cara pembubaran DUN diserah kepada SPR hari ini

KUCHING: Surat rasmi pengisytiharan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang berkuat kuasa 24 Oktober lalu, dikemukakan kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dato Seri Ramlan Datuk Harun pada hari ini.

Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohd. Asfia Awang Nassar berkata, surat cara pembubaran itu ditandatangani Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Dalam surat cara itu, Yang di-Pertua Negeri berkenan bersetuju bahawa DUN Sarawak dibubarkan pada 26 Oktober lalu.

“Susulan pembubaran DUN Sarawak itu, SPR akan mengeluarkan writ dan Notis Pilihan Raya dalam Gazet Kerajaan,” katanya pada sidang media di Bangunan DUN Sarawak di sini, hari ini.

Menurut Asfia, SPR akan mengumumkan tarikh untuk hari penamaan calon dan hari mengundi kemudian.

Beliau berkata, hanya 82 kerusi dipertandingkan pada pilihan raya negeri ke-13 (PRN13) ini, memandangkan proses persempadanan semula 17 kerusi baharu DUN oleh SPR masih belum siap.

Di bawah Peraturan 3(1) Peraturan Pilihan Raya (Pengurusan Pilihan Raya) 1981), Asfia berkata, hari penamaan calon hendaklah diadakan tidak kurang daripada empat hari selepas Notis Pilihan Raya dikeluarkan.

Hari mengundi pula, tambahnya, hendaklah diadakan tidak kurang daripada 11 hari selepas hari penamaan calon dan memberi jaminan tempoh minima berkempen selama 11 hari untuk semua calon.