Pelajar SMK Sadong Jaya diminta beri terbaik dalam SPM 2026

KOTA SAMARAHAN: Pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sadong Jaya khususnya diminta menggunakan masa yang masih ada untuk membuat persediaan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata mereka akan menduduki peperiksaan itu tidak lama lagi dan mesti mengulang kaji pelajaran dengan bersungguh-sungguh selain mendapatkan bimbingan daripada guru.

“Ingatlah, setiap usaha yang dilakukan hari ini akan membantu menentukan langkah adik-adik pada masa hadapan. Berikan yang terbaik dan yakinlah dengan kemampuan diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meraikan seramai 202 pelajar yang akan menduduki peperiksaan itu di Majlis Graduasi dan Apresiasi Tingkatan 5 SMK Sadong Jaya di dewan sekolah itu, di sini, hari ini.

Rodiyah berkata, selepas SPM, terdapat pelbagai laluan untuk pelajar melanjutkan pelajaran atau membina kerjaya.

Antaranya ialah universiti, politeknik, kolej komuniti, institusi latihan kemahiran atau mengikuti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) atau tingkatan enam.

“Belanjawan 2027, Kerajaan Persekutuan turut menyediakan elaun sara hidup sebanyak RM2,500 bagi setiap pelajar tingkatan enam untuk sesi persekolahan tahun 2027,” katanya.