Sarawak pilihan pelabur Jepun

SRI AMAN: Sarawak menjadi pilihan seorang usahawan bertaraf dunia dari Jepun untuk melabur dalam pembangunan pusat data pintar berteknologi tinggi.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelabur berkenaan mengadakan pertemuan dengannya selepas membuat kajian terhadap dasar kerajaan negeri.

“Beliau memaklumkan bahawa bukan sahaja bekalan tenaga menjadi tarikan, malah dasar pendidikan percuma Sarawak turut menjadi faktor utama kerana negeri ini sedang menyediakan generasi muda untuk mencapai kemajuan teknologi lebih tinggi,” katanya semasa berucap merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026, di sini, hari ini.

Menurut beliau, pelabur berkenaan turut menyatakan keyakinan terhadap kestabilan politik serta ekosistem pelaburan yang disediakan Sarawak.

Pelaburan yang dicadangkan itu melibatkan pembangunan pusat data pintar bertaraf teknologi tertinggi dunia, selain potensi dalam bidang semikonduktor dan pembuatan cip.

“Beliau sanggup datang dari Jepun ke Sarawak selepas meneliti dasar negeri dan melihat Sarawak sebagai lokasi yang sesuai untuk menjadi pusat teknologi terkini dunia,” tambahnya.

Abang Johari berkata, pelabur berkenaan turut melihat potensi Sarawak dalam pembangunan kecerdasan buatan (AI) serta teknologi masa hadapan.

Katanya, Sarawak turut menerima perhatian pelabur antarabangsa kerana mempunyai dasar yang menyediakan ekosistem sesuai untuk pelaksanaan pelaburan berteknologi tinggi.

Beliau berkata, keyakinan pelabur antarabangsa terhadap Sarawak menunjukkan kepentingan pendidikan, teknologi dan kestabilan negeri dalam menarik pelaburan.