31/10 SKCCM 2026 tarik lebih 240,000 pengunjung

KUCHING : Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia (SKCCM) 2026 berjaya menarik lebih 240,000 pengunjung sepanjang lima siri jelajah terdahulu, mengatasi sasaran awal seramai 200,000 orang.

Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Mohd Roslan Abdullah berkata, penganjuran karnival itu turut merekodkan jualan melebihi sasaran RM1 juta, membuktikan keberkesanannya dalam merancakkan industri pelancongan domestik negara.

“Sarawak menjadi destinasi keenam dan terakhir bagi siri jelajah SKCCM 2026 yang berlangsung di Plaza Merdeka, dari 30 Oktober hingga 1 November,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian SKCCM 2026 edisi Sarawak di sini, hari ini.

Edisi Sarawak menampilkan 37 reruai yang melibatkan agensi pelancongan, syarikat penerbangan, pengusaha hotel, inap desa serta penyedia pelbagai produk pelancongan tempatan.

Menurutnya, data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan jumlah pelawat domestik meningkat 5.6 peratus kepada 151.6 juta bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, berbanding 143.5 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

“Sarawak merekodkan 22.1 juta pelawat domestik pada 2025, mencerminkan potensi besar negeri ini sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi, budaya dan warisan,” katanya.

Melalui inisiatif Destinasi Indah, Harga Rahmah, pengunjung berpeluang menikmati pelbagai pakej percutian pada harga berpatutan bagi menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.-NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI