SRI AMAN: Sarawak kekal dengan pendirian menuntut perwakilan satu pertiga kerusi Dewan Rakyat bagi Sabah dan Sarawak selaras dengan semangat serta prinsip Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sebarang usaha meningkatkan perwakilan kedua-dua negeri itu kepada 35 peratus perlu dilaksanakan menerusi proses perundangan yang ditetapkan.
Beliau berkata, cadangan berkenaan memerlukan penelitian semula terhadap keseluruhan kawasan Parlimen, termasuk jumlah kerusi di Semenanjung Malaysia, sebelum dibawa untuk kelulusan Parlimen.
“Kalau mereka menyemak semula keseluruhan kawasan Parlimen termasuk jumlah kerusi di Semenanjung, perkara itu perlu dibawa ke Parlimen untuk kelulusan.
“Selepas itu, SPR mengambil tindakan mengikut proses yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sri Aman 2026 di Kompleks Sukan Sri Aman, hari ini.
Abang Johari berkata, sekiranya cadangan itu memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan, ia perlu mendapat sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen sebelum dapat dilaksanakan.
Terdahulu, Kerajaan Persekutuan bersetuju secara prinsip terhadap cadangan meningkatkan perwakilan Sabah dan Sarawak kepada 35 peratus daripada keseluruhan kerusi Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, cadangan itu masih memerlukan penelitian lanjut dengan mengambil kira semangat dan tuntutan MA63 serta perkara yang dipersetujui antara Kerajaan Persekutuan dengan kedua-dua negeri.
