KUCHING: Pembangunan Fakulti Perubatan di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di Sibu merupakan usaha Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan jumlah doktor dalam kalangan anak tempatan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, fakulti itu akan dibangunkan berlandaskan piawaian antarabangsa dengan menjadikan universiti terkemuka dunia sebagai penanda aras bagi melahirkan pengamal perubatan bertaraf global.
Beliau berkata, langkah itu amat penting kerana pendidikan merupakan kunci utama dalam melahirkan lebih ramai tenaga profesional tempatan, khususnya bagi memenuhi keperluan sektor kesihatan.
“Atas sebab itu, Kerajaan Sarawak kini menyediakan pendidikan percuma di seluruh Sarawak, termasuk di universiti milik kerajaan negeri, kepada semua anak Sarawak yang memiliki kad pengenalan berstatus ‘K’,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan majlis penaiktarafan bangunan tambahan Kuil Sikh Sarawak (Gurdwara Sahib Kuching) Jalan Masjid di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS) Datuk Ibrahim Baki, Datuk Bandar Kuching Utara (DBKU), Dato Hilmy Othman serta Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng, Presiden Persatuan Temple Sikh Sarawak, Dato Dr Kalwinder Singh Khaira serta ahli jawatankuasa persatuan berkenaan.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak turut meningkatkan jumlah biasiswa pendidikan sebanyak dua kali ganda, daripada 40 kepada 80 pada tahun ini bagi membolehkan lebih ramai pelajar melanjutkan pengajian di universiti.
Katanya, langkah itu antara usaha memperluas peluang pendidikan dan meningkatkan jumlah tenaga profesional, termasuk doktor dalam kalangan anak Sarawak.
Beliau turut merujuk kepada komuniti Sikh yang mempunyai antara nisbah doktor berbanding jumlah penduduk terbaik sebagai contoh kepentingan pendidikan dalam melahirkan lebih ramai golongan profesional.
Beliau turut menyumbang empat papan pintar untuk kegunaan empat bilik darjah di kuil tersebut supaya anak-anak masyarakat terbabit mendapat akses kepada teknologi moden.
