KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM6.46 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) dan pembiayaan alternatif
bagi melaksanakan 361 projek bekalan air di seluruh Sarawak.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 338 projek atau 94 peratus siap atau berada dalam peringkat pembinaan.
“Sebanyak RM662.7 juta daripada keseluruhan peruntukan berkenaan disediakan bagi pelaksanaan projek bekalan air sepanjang tahun ini,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Projek Pembinaan Tangki Takungan Air dan Kerja-Kerja Berkaitan di Matang yang dilaksanakan oleh Sarawak Water.
Julaihi memberitahu, projek itu merangkumi pembinaan dua tangki takungan air aras pertengahan berkapasiti 33 juta liter (ML) setiap satu serta sebuah tangki aras tinggi berkapasiti sembilan ML.
“Ia turut melibatkan kerja menaik taraf sistem pam di stesen pam penggalak sedia ada, pemasangan saluran paip dan kerja-kerja berkaitan,” jelasnya.
Setakat ini, katanya, pembinaan tangki aras tinggi mencapai kemajuan fizikal 31 peratus, manakala tangki aras pertengahan mencatatkan kemajuan 64.5 peratus, mendahului jadual.
“Projek itu penting bagi memperkukuh kapasiti simpanan air terawat untuk memenuhi keperluan kawasan utara bandar raya Kuching, termasuk Petra Jaya, Samariang, Bako, Santubong, Rambungan, Sampadi, Stoh, FAC Matang serta sebahagian kawasan Samajaya,” katanya.
Katanya lagi, liputan bekalan air keseluruhan Sarawak kini meningkat kepada 86.1 peratus, manakala liputan di kawasan luar bandar mencapai 72 peratus hasil usaha berterusan kerajaan Sarawak.
“Bagi menjamin keterjaminan bekalan air pada masa hadapan, Kerajaan Sarawak membangunkan sistem grid air menerusi Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak.
“Merangkumi pembinaan serta naik taraf 32 loji rawatan air utama dan pembangunan rangkaian paip grid sepanjang 2,934 kilometer dari Wilayah Selatan hingga Wilayah Utara,” katanya.
