KUCHING: Program Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) yang memberi tumpuan kepada kawasan pedalaman dan terpencil di luar liputan sistem grid memberi manfaat kepada kira-kira 2,600 isi rumah di 79 kampung dan rumah panjang.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, program SAWAS akan diperluas secara berperingkat kepada kira-kira 1,300 kampung dan rumah panjang, dengan fasa ketiga di Bahagian Sarikei kini dalam peringkat awal pelaksanaan.
Selain itu, katanya, Kerajaan Sarawak sedang melaksanakan program menaik taraf dan menggantikan paip air lama serta uzur sepanjang 2,740 kilometer (km) membabitkan peruntukan RM1.1 bilion bagi menambah baik rangkaian paip dan mengurangkan kehilangan air tidak berhasil (NRW).
“Setakat ini, sebanyak 44 projek telah siap, 38 projek sedang dalam pelbagai peringkat pembinaan, manakala 140 projek lagi berada pada peringkat prakontrak dan disasarkan memulakan pembinaan menjelang suku kedua 2027,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke Projek Pembinaan Tangki Takungan Air dan Kerja-Kerja Berkaitan di Matang yang dilaksanakan Sarawak Water.
Julaihi menegaskan, Kerajaan Sarawak akan terus memberi keutamaan kepada pembangunan sistem bekalan air secara menyeluruh.
Ia merangkumi sumber air mentah, loji rawatan, rangkaian paip utama, stesen pam penggalak, tangki simpanan dan sistem retikulasi.
“Pelaksanaan pelan induk ini bukan sesuatu yang dapat diselesaikan dalam satu malam, namun kemajuan positif sedang dicapai.
