Jangan mudah percaya surat layang politik – Abdul Karim

KUCHING: Rakyat dinasihat supaya tidak mudah percaya surat layang berhubung perkembangan politik Sarawak, khususnya senarai calon dan kedudukan pemimpin menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-13.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kesahihan maklumat yang disebarkan melalui surat layang wajar dipersoalkan kerana identiti penghantarnya tidak diketahui.

Menurutnya, penyebaran surat layang kini semakin mudah menerusi aplikasi WhatsApp dan media sosial berbanding kaedah tradisional menggunakan surat fizikal tanpa nama pengirim.

“Terdapat pihak menggunakan platform berkenaan untuk memburukkan individu tertentu.

“Mereka juga mengangkat seseorang pemimpin atau menyebarkan gambar individu yang didakwa bakal menjadi calon pilihan raya.

“Sedangkan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg belum membuat sebarang pengumuman,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika mengulas penyebaran surat layang berkaitan perkembangan politik Sarawak, selepas majlis penangguhan Regata Sarawak 2026 di Tebingan Sungai Kuching, di sini, hari ini.

Majlis penangguhan disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Turut hadir, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki hadir sama.

Abdul Karim yang juga Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak menolak kemungkinan terdapat individu sengaja menyebarkan gambar sendiri sebagai bakal calon bagi menguji reaksi dan mendapatkan sokongan masyarakat.

Tegasnya, berdasarkan pengalaman dalam Parti PBB dan GPS, pihak parti tidak menyebarkan gambar atau senarai individu yang bakal dipilih sebagai calon sebelum pengumuman rasmi dibuat.

Katanya, proses pemilihan calon dilaksanakan secara dalaman sebelum diumumkan secara rasmi oleh Pengerusi GPS.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya lebih berhati-hati terhadap maklumat politik yang tersebar melalui media sosial dan tidak menganggap setiap dakwaan dalam surat layang sebagai sesuatu yang benar.- NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI