Topi buluh tarikan pengunjung Festival Kraf Borneo Sarawak

KUCHING: Topi atau sirung buluh adalah antara tarikan pengunjung di Festival Kraf Borneo Sarawak 2026 di Tebingan Kuching.

Sirung buluh diusahakan oleh wanita berketurunnan Kadazan , Margaret Kiat, 61, yang turut dijemput untuk mempamer dan menjual produk kraf sepanjang festival ini diadakan.

Berbekalkan kemahiran menganyam yang diwarisi daripada ibu bapanya, Margaret  terus mempertahan seni pembuatan topi buluh tradisional masyrakat Kadazan yang dikenali sebagai sirung.

Berasal dari Papar, Sabah, Margaret mengusahakan kraf berkenaan sejak usia belasan tahun. Baginya, sirung bukan sekadar sumber pendapatan, malah warisan keluarga yang perlu dipelihara agar tidak ditelan zaman.

Menggunakan buluh lemang sebagai bahan utama, proses menghasilkan sebuah sirung memerlukan ketelitian dan kesabaran tinggi, terutama ketika menganyam corak bunga serta motif hiasan.

Beliau mengambil masa kira-kira tiga minggu hingga sebulan untuk menyiapkan sebuah sirung, bergantung pada kelapangan masa.

Kerumitan proses dan nilai seninya menjadikan setiap hasil anyaman dijual pada harga RM800 satu.

Dalam budaya masyarakat Kadazan, sirung bukan sekadar penutup kepala, malah turut dijadikan hantaran pertunangan dan perkahwinan serta digunakan dalam majlis keramaian.

Ketika ditemui pada  Festival  Kraf Borneo Sarawak di Tebingan Kuching, Margaret sedang menyiapkan tempahan dua sirung untuk hantaran pertunangan.

Penyertaan dalam festival  itu membuka peluang kepadanya memperkenal seni kraf warisan Kadazan kepada masyarakat Sarawak.

Beliau turut menghargai jemputan Kerajaan Sarawak yang memberikan ruang untuk mempromosikan hasil krafnya.

Margaret berharap seni anyaman sirung terus mendapat perhatian generasi muda supaya warisan tradisional yang mempunyai nilai budaya dan ekonomi itu tidak lenyap ditelan zaman.

Selain mengusahakan sirung, Margaret juga mengusaha pelbagai pakaian tradisional masyarakat Kadazan dan kaum-kaum lain  serta tikar kecil untuk hiasan dinding.

Festival Kraf Borneo Sarawak 2026 diadakan selama 10 hari bermula 23 Oktober lalu dan berakhir 1 November ini.

Program ini dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.