SIMANGGANG: Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Sri Aman merekodkan 108,452 pengunjung membanjiri Kompleks Sukan Sri Aman sepanjang tiga hari penganjurannya.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli, berkata sambutan luar biasa itu membuktikan rakyat menyokong usaha kerajaan mendekati masyarakat.
Katanya, kejayaan tersebut turut memperlihatkan kekuatan Sarawak yang dibina atas perpaduan, keharmonian dan kebersamaan rakyat berbilang kaum.
“Program Sarawakku Sayang merupakan platform penting untuk membawa perkhidmatan kerajaan lebih dekat kepada rakyat, khususnya masyarakat luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penangguhan SKS 2026 Bahagian Sri Aman di Kompleks Sukan Sri Aman, hari ini.
Berkonsepkan Pusat Sehenti, program itu menghimpunkan 52 agensi dan jabatan kerajaan negeri, Persekutuan, GLC serta NGO yang menawarkan 170 jenis perkhidmatan merangkumi kesihatan, pendidikan, kebajikan dan pendigitalan.
Pengunjung turut berpeluang menyelami pencapaian dan perancangan pembangunan negeri menerusi Sarawak Pavilion, selain menyokong ekonomi setempat melalui 50 gerai Sri Aman Kitchen & Sales yang menjual makanan, minuman dan kraftangan tempatan.
Mohamad Shafizan turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi, wakil rakyat, penaja dan pihak yang terlibat.
Penganjuran kali ini menerima sumbangan dan tajaan berjumlah RM91,008.50, menggambarkan kerjasama erat pelbagai pihak.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datu Hii Chang Kee, Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh dan Penyandang Kerusi DUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor.
