KUCHING: Tajaan pendidikan Yayasan Sarawak menjadi sokongan penting kepada dua anak Sarawak, Nur Hafizah Auda dari Tatau dan Jasnita Kent dari Kapit, dalam meneruskan pengajian bidang perubatan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Bantuan termasuk pembiayaan pengajian, kemudahan tempat tinggal serta sokongan pengangkutan itu membantu meringankan beban kewangan, sekali gus membolehkan mereka memberikan tumpuan kepada pelajaran.
Nur Hafizah berkata, kemudahan tuntutan tiket penerbangan amat membantu memandangkan beliau perlu menempuh perjalanan dari Tatau ke Bintulu sebelum menaiki penerbangan ke Kuching untuk meneruskan pengajian di UNIMAS.
“Bantuan itu memberi peluang kepada pelajar dari luar bandar melanjutkan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan,” katanya.
Sementara itu, bagi Jasnita pula, beliau melahirkan rasa syukur kerana terpilih menerima tajaan penuh Yayasan Sarawak selepas melalui proses temu duga yang kompetitif.
“Bantuan kewangan dan kemudahan tempat tinggal yang disediakan membolehkan saya menumpukan perhatian kepada pengajian perubatan yang mencabar,” katanya.
Nur Hafizah dan Jasnita ditemui media selepas Majlis Konvokesyen UNIMAS Ke-30 di sini, hari ini.
Majlis penyampaian skrol konvokesyen di sempurnakan Premier Sarawak,Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Justeru, mereka turut berharap lebih ramai anak Sarawak memanfaatkan peluang bantuan pendidikan tersebut untuk melanjutkan pengajian.
Ini sekali gus kata mereka dapat menyumbang kepada usaha melahirkan lebih ramai tenaga profesional, khususnya dalam bidang perubatan.- NORAIDA ABDUL KASSIM/JIWA BAKTI
